Rabu, 22 Februari 2012

TARBIYAH DZATIYAH

Muqaddimah

Mengapa sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang kebanyakannya buta huruf (tidak tahu membaca dan menulis) mampu tampil menjadi peribadi-peribadi yang hebat dengan ciri-ciri khas dan kelebihannya masing-masing? Padahal jika dilihat dan diperhatikan baik-baik, guru mereka sama, iaitu Rasulullah SAW dan Islam yang diajarkan baginda kepada mereka juga satu.

Mungkinkah kerana adanya Rasulullah SAW? Kalau kerana adanya Rasulullah secara fizikal bersama mereka menjadi sebab untuk tumbuhnya ummat yang benar-benar mentauhidkan Allah SWT itu tentunya Allah SWT tidak menjadikan Rasulullah SAW sebagai Rasul terakhir. Tentunya ada Rasul-Rasul lain yang menyebarkan agama tauhid ini.

Barangkali diantara rahsianya ialah kerana masing-masing dari sahabat Rasul tersebut mampu mentarbiyah (membina) diri mereka sendiri dengan optimal, meningkatkan kualiti diri menuju tingkatan seideal mungkin, mengadakan perbaikan diri dengan penuh komitmen dan berterusan serta meningkatkan semua potensi mereka hingga tidak ada satu pun potensi mereka yang terabai.

Rangkaian proses tersebut inilah yang diistilahkan dengan Tarbiyah Dzatiyah. Definisi dari Tarbiyah Dzatiyah adalah sejumlah sarana (tuntutan dan keperluan) tarbiyah yang diberikan oleh seorang muslim atau muslimah kepada dirinya untuk membentuk keperibadian Islami yang sempurna pada seluruh aspek kehidupannya; ilmiah, iman, akhlaq, sosial, dan sebagainya lalu mereka sentiasa meningkat ke tingkatan kesempurnaan sebagai manusia.

Pendek kata, Tarbiyah Dzatiyah merupakan tarbiyah seseorang terhadap diri sendiri dengan dirinya sendiri. Tarbiyah Dzatiyah ini berlaku apabila seorang muslim atau muslimah itu memahami tarbiyyah secara konseptual serta menterjemahnya kepada bentuk praktikal lalu dengannya ia memperbaiki kualiti diri, mencorakkan keperibadiannya dengan bercontohkan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya serta menyalakan api semangat untuk sentiasa meningkatkan diri sendiri. Kesemua ini akan mendekatkan dirinya kepada keredhaan Allah SWT serta mampu untuk istiqamah di atas jalan yang benar serta mendapatkan syurgaNya. Peribadi-peribadi begini akan lebih dicintai dan diterima Allah bahkan akan merasakan kebahagiaan, ketenteraman, keamanan dan ketenangan jiwa dibawah bimbingan Allah dalam setiap langkah kehidupannya serta terjaga dari keburukan dan hal-hal yang tidak disukai, mendapat keberkatan dalam waktu dan harta serta sabar di atas berbagai penderitaan dan ujian yang merintangi perjalan menuju redha Allah SWT.

Tarbiyah Dzatiyyah & Kewajiban Dakwah Islamiyyah

Rasulullah SAW diutuskan sebagai “Rahmatul lil ‘alami’ (rahmat untu sekelian alam). Kebenaran Islam adalah sarana tunggal yang akan mendekatkan manusia kepada kebahagiaan dan kemuliaan dunia dan akhirat. Kebenaran Islam yang berada di dalam jiwa kita ini adalah hak yang perlu dikongsikan oleh semua insan tanpa mengira warna kulit dan bahasa.

Rasulullah SAW adalah Rasul tarbiyah dan dakwah. Rasululllah tidak hanya mendidik sahabat-sahabat dirumah Arqam bin Abi al Arqam tetapi baginda telah membangunkan satu barisan pendakwah yang akhirnya telah menyebarkan cahaya kebenaran Islam ke seluruh pelusuk dunia.

Tabiat agama ini berkembang dan menyebar ke berbagai pelusuk dunia. Misi agama Allah ini adalah menyebarkan rahmat bagi dunia untuk seluruh umat manusia (Al-Anbiya’: 107). Dengan begitu kebenaran Islam menjadi hak semua orang agar mereka meraih hidayah Allah. Seharusnya seluruh penghuni alam ini mendapat nikmat dari usaha dakwah. Paling tidak, semua manusia dapat merasakan rahmat Islam. Keadaan ini dapat dipengaruhi dengan adanya sekelompok manusia yang memahami, menghayati serta menyebarkan (mendakwahkan) Islam keseluruh pelusuk alam.

Setiap dari kita yang mendapat sentuhan iman ini seharusnya memiliki keperibadian tertentu serta mampu meningkatkan diri serta menyebarkan kebenaran Islam ini keseluruh pelusuk alam. Kita perlu membangunkan diri kita sebagai Rijalun ‘Aqidah (pendokong aqidah) yang merasa bertanggungjawab untuk menyebarkan risalah Iman ini kepada sesiapa sahaja yang kita temui. Kita mampu menjadikan diri kita dan seruan kita sebagai dakwah kepada Allah SWT. Pendek kata, kita mampu menjadikan diri kita sebagai da’ie atau pendakwah. Kemampuan untuk mendidik dan membangunkan mukmin dengan ciri-ciri istimewa inilah yang disebut sebagai Tarbiyah Dzatiyah atau tarbiyah mandiri.

Jatidiri Mukmin

Kemampuan tarbiyah dzatiyah menjadikan kita mampu bertahan dalam berbagai ujian dan tekanan dalam menghayati dan hidup sebagai mukmin. Kita tidak futur (malas dan lesu), tidak kendur semangat untuk istiqomah diatas kebenaran dan melaksanakan tuntutannya, pemikiran kita tidak jumud dan tidak akan bimbang dan ragu menjawab berbagai tuduhan dan fitnah serta yang sangat diharapkan dari tarbiyah dzatiyah adalah kita menjadi seorang pendakwah yang mampu menyelesaikan segala persoalan yang menghalangi perjalanan kita meraih kemuliaan di sisi Allah SWT.

Dengan sikap ini kita tidak sangat bergantung pada arahan atau bimbingan secara formal (rasmiyyah). Melainkan kita mampu mengembangkan potensi diri dan dakwah Islamiyah sebagaimana mestinya. Dan dapat mengambil keputusan yang tepat.

Utusan-utusan Rasulullah SAW telah membuktikan dirinya dalam mengembangkan dakwah di berbagai tempat. Mereka dapat bertahan sekalipun jauh dari Rasulullah SAW dan masyarakat muslim lainnya. Ja’far bin Abi Thalib di antaranya. Dia dan sahabat lainnya dapat tinggal di Habsyah dalam waktu yang cukup lama. Sekalipun mereka sangat rindu untuk berkumpul bersama dengan saudara muslim lainnya, mereka dapat mempertahankan dirinya dalam keimanan dan ketaqwaan. Begitu kuatnya daya tahan mereka hidup bersama dakwah jauh dari saudara-saudaranya yang lain dalam waktu yang cukup lama. Hingga Rasulullah saw. begitu bangga terhadap mereka disaat mereka pulang ke Madinah. Baginda menyatakan, “Aku bingung apa yang membuatkan riangnya diriku, apakah kerana menangnya kita di Khaibar ataukah kembalinya kaum muslimin dari Habsyah.”

Demikian pula Mus’ab bin Umair sebagai duta Islam pertama dapat mengembangkan dakwah di Madinah dan berhasil membangun masyarakat di sana. Mus’ab sebagai guru pertama di Madinah dapat memperluas jaringan dakwah. Sehingga tempat itu menjadi asas pertumbuhan umat Islam di kemudian hari. Dan menjadi mercutanda peradaban Islam.

Begitulah keperibadian yang menjadi asas kepada kegemilangan Islam dan sejarah kemanusiaan. Mereka dapat menunaikan tugas tersebut dengan sebaik-baiknya. Lantaran Tarbiyah Dzatiyah yang ada pada diri mereka. Malah banyak tugas-tugas lain dapat diselesaikan dengan cemerlang. Sebaliknya peribadi-peribadi lemah yang tidak mampu meningkatkan diri mereka akan tenggelam ditelan masa, tunduk kepada nafsu dan disibukkan oleh urusan yang remeh temeh bahkan sentiasa melibatkan diri dalam perbalahan-perbalahan yang tidak membuahkan amal.

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” (Al-Anfal: 27)

 
 Beberapa Fokus Tarbiyah Dzatiyah

Adapun aspek-aspek yang perlu ditingkatkan setiap mukmin dalam tarbiyah dzatiyah terhadap dirinya meliputi:

1. Ar-Ruhiyah (Spiritual)

Sudah menjadi kebiasaan bagi setiap mukmin untuk meningkatkan ketahanan ruhiyahnya. Sehingga ia tidak lemah dalam melaksanakan segala taklif robbani (tanggungjawab keimanan). Ruhiyah yang kukuh menjadi variable yang sangat penting dan berpengaruh. Betapa perlunya setiap mukmin memiliki program yang terancang dalam menjaga ketahanan ruhiyah. Seperti merutinkan diri untuk solat berjamaah di masjid, berpuasa sunat, qiyamullail, sedekah, ziarah kubur ataupun aktiviti lainnya yang memberi kesan pada kesihatan rohaninya.

Dengan usaha ini insyaAllah dari sudut maknawiyah atau hakikinya kita tidak lemah atau bermuka-muka. Keadaan maknawiyah yang rapuh akan memberi kesan negatif hingga melahirkan amal yang murahan dan tidak menjadikan redha Allah sebagai matlamat.

Disamping itu, seorang mukmin perlu mencermati naik turunnya ruhaniyah diri mereka sendiri. Bahkan sedapat mungkin mempunyai standard piawaian yang benar untuk menilai segala tingkahlaku atau amalan dalam kehidupannya.

Ambillah pelajaran dari sikap para sahabat dalam mentarbiyah ruhiyah mereka masing-masing. Ada yang selalu menjaga keadaan diri agar selalu dalam keadaan berwudlu’. Ada pula yang sentiasa mengunjungi orang yang sedang mengalami kesusahan hidup. Ada juga yang menziarahi kuburan untuk mengingati mati dan berbagai usaha lainnya. Ambillah nasihat Umar ibnul Khathtab RA, “Hitung-hitunglah dirimu sebelum kamu dihisab Allah swt. di hari Perhitungan”

2. Al-Fikriyah (Pemikiran)

Pada dasarnya pemikiran manusia perlu sentiasa bekerja agar tidak mengalami kejumudan berfikir. Untuk memenuhi tuntutan tersebut tidaklah cukup menghadkan muatan pemikiran dari majlis tarbiyah yang tertentu sahaja. Akan tetapi dapat mencari berbagai sumber penggalian ilmu untuk berfikir. Mampu menelaah kitab, menghadiri acara kajian ilmiah ataupun kegiatan peningkatan wawasan lainnya.

Telah banyak paparan nas dari Al-Qur’an ataupun Hadith yang menyarankan untuk meningkatkan kemampuan berfikir dengan melakukan pengamatan dan pengkajian. Sehingga pemikiran kita sentiasa dalam pencerahan bahkan selalu dapat mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Dengan ini kita akan sentiasa berkembang dan menjadi pintu gerbang kemajuan intelektual. Maka, adalah wajib bagi seorang mukmin untuk membaca buku beberapa jam dalam setiap hari serta memiliki perpustakaan peribadi di rumahnya walaupun kecil.

3. Al-Maaliyah (Material)

Islam juga menuntut kekuatan material atau kebendaan. Oleh itu setiap mukmin harus memiliki kemampuan keusahawanan agar tidak menjadi beban kepada orang lain. Ini harus menjadi ciri-ciri yang mensifati seorang mukmin. Ia harus memiliki kemampuan mencari penghidupan bagi dirinya (qadirun alal kasabi).
Para sahabat yang diredhai Allah swt. telah memberikan pelajaran pada kita semua bahawa mereka tidak menjadi beban bagi saudara mereka. Kaum Muhajirin yang datang ke Madinah tidak membawa apa-apa, namun mereka tidak dengan mudah menerima bantuan kaum Anshar. Kaum Muhajirin mampu mengembangkan potensi maaliyah dirinya. Mereka pun akhirnya dapat hidup sebagaimana layaknya malah ada yang lebih baik dari kehidupannya di Mekkah.

4. Al-Maidaniyah (Penguasaan Lapangan)

Penguasaan lapangan juga hal sangat penting bagi perkembangan dakwah ini. Seorang mukmin seharusnya memahami keadaan masyarakat yang digaulinya. Ia benar-benar memahami segala permasalahan serta sepak teranjang masyarakat disekitarnya supaya ia mampu menyesuaikan diri dan mencari peluang-peluang atau pintu-pintu untuk memasukkan Iman kepada jiwa masyarakat. Penguasaan lapangan yang cepat dan tepat nenbolehkan ia menyusun taktik dan strategi yang tepat untuk menyebarkan risalah kebenaran ini. Pengenalannya yang bagus dapat menentukan strategi apa yang sesuai dan praktikal bagi masyarakat yang didepaninya.

Maka ketika para sahabat berada di tempat yang baru mereka mulai belajar untuk mengenal medan dan lingkungannya. Sehingga perjalanan dakwah mereka berkembang dengan pesat. Seperti dakwah di Madinah oleh Mus’ab bin Umair dan sahabat lainnya.

Dari sinilah setiap aktivis perlu mengenal dengan betul wilayahnya. Sehingga dapat mengenalpasti dengan cepat mana satu peluang dakwah dan mana pula yang menjadi penghalangnya. Sehingga ia dapat mempersiapkan diri untuk keadaan tersebut. Bila menemui halangan ia dengan cepat menyelesaikan dan mencari jalan keluarnya.

5. Al-Harakiyah (Gerakan Dakwah)

Penguasaan harakiyah pun menjadi aspek Tarbiyah Dzatiyah yang perlu diperhatikan sehingga setiap mukmin dapat mengekalkan keseimbangan dan kelajuan dakwahnya. Ini mungkin terjadi apabila seorang mukmin itu dapat menyelami seni dan liku-liku perjalanan dakwah serta pergerakannya. Pemahaman terhadap gerakan dakwah yang tepat akan melahirkan sikap pendakwah yang mengerti benar tentang sikap apa yang harus dilakukan untuk kepentingan dakwah.

Sebagaimana yang dilakukan Hudzaifah Ibnul Yaman ketika masuk ke tengah barisan musuh. Ketika malam yang gelap dan mencekam seperti itu, Abu Sufyan sangat khuatir pasukannya intip. Sehingga ia mengumumkan agar seluruh perajurit seharusnya mengenali siapa yang ada di kiri kanannya. Setelah selesai memberikan arahan itu Hudzaifah lantas memegang tangan orang yang ada di sisi kanan dan kirinya sambil menanyakan siapa engkau. Tentu saja mereka menjawab saya fulan bin fulan. Dengan kepantasan dan kebijaksanaannya itu, Huzaifah tidak ditanya orang.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar